KEKARUTAN SMS BERANGKAI

Masihkah anda ingat suatu ketika dahulu penyebaran surat berangkai yang berleluasa dikalangan kita?. Kini, dengan arus pemodenan yang melanda dunia, surat berangkai sudah menjadi 'out dated' dan diganti dengan SMS berangkai selari dengan arus kemajuan teknologi maklumat.

Saya sendiri sudah beberapa kali menerima SMS berangkai tersebut daripada rakan-rakan Muslim yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan yang terbaharu diterima pada minggu lepas. SMS-SMS tersebut berbunyi:
'jika anda mengsms (ayat-ayat seperti potongan surah Yasin atau nama-nama ALLAH yg ditaip di dalam SMS tersebut) kepada 7 orang (sesetengah 10 orang) maka anda akan mendapat berita gembira/kebaikan tidak lama lagi. Tetapi jikalau anda tak send atau delete SMS ini, maka anda akan ditimpa musibah'.
Amat menyedihkan kerana ramai dikalangan kita masih mempercayai dan menyebar SMS-SMS seperti ini. Kenapakah ini  berlaku? Apakah yang menyebabkan kita mudah tertipu dengan perkara karut seperti ini?. Atas sebab itu, saya ingin menjelaskan perkara seperti berikut:

1.  Petikan di dalam SMS berangkai menyebut bahawa jika anda menghantar SMS ini kepada 7 atau 10 orang kenalan maka anda akan menerima berita gembira. Tetapi jika sebaliknya, maka anda akan menerima musibah. Saya ingin bertanya bagaimanakah pencipta SMS karut ini boleh mengetahui perkara baik atau buruk yang akan berlaku pada masa akan datang sedangkan dia bukan Tuhan atau Nabi yang menerima wahyu? Nabi saw sendiri tidak mengetahui perkara yang akan berlaku pada masa depan kecuali diwahyukan oleh ALLAH swt. Jadi hanya ALLAH swt yang Maha Mengetahui perkara yang akan berlaku pada masa akan datang bukan pencipta SMS karut ini. Saya rasakan hujah inipun sudah mencukupi untuk membuktikan bahawa SMS berangkai yang anda terima dan sebarkan selama ini adalah karut semata-mata karut.

2.  Pengasas SMS karut ini seolah-olah berani mencipta satu syariat baru sedangkan agama Islam sudahpun    sempurna lebih 1'400 tahun yang lalu. ALLAH swt berfirman maksudnya:
"Pada hari ini AKU telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan AKU telah cukupkan nikmat-KU kepada kamu, dan AKU telah redha akan Islam itu menjadi agama untuk kamu." Surah al-Ma'idah: 3. 
Ayat di atas turun ketika peristiwa Haji Wada di waktu-waktu penghujung kehidupan Nabi saw. Ini bermakna agama Islam sudahpun sempurna dari saat turunnya ayat tersebut.

3.  SMS berangkai seperti ini turut diterima oleh rakan Non Muslim saya dalam versi agama mereka. Nampaknya SMS berangkai yang karut marut ini wujud dalam berbagai versi agama dan mungkin dalam pelbagai bahasa Wallahu'alam.

4.  SMS berangkai yang karut seperti ini hanya merosakkan pemikiran umat Islam. Kita menjadi umat yang malas berfikir dan hanya menelan bulat-bulat apa yang diterima tanpa mengkaji kesahihannya. Malanglah jika kita terus menerus berfikiran seperti ini.

5.  Penyebaran SMS karut ini hanya menguntungkan syarikat telekomunikasi dan anda yang tertipu menjadi bertambah rugi. Bayangkan berapa juta SMS seperti ini sudahpun dihantar sehingga ke hari ini. Ternyata ini hanyalah satu pembaziran yang sia-sia. ALLAH swt tidak suka akan pembaziran. ALLAH swt berfirman maksudnya:
" .....dan janganlah kamu melakukan pembaziran. Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan".  Surah al-Isra': 26-27
Marilah kita berfikir secara logik dan rasional sebelum melakukan sesuatu tindakan. Usahlah kita mudah tertipu dengan perkara karut marut seperti ini. Janganlah menjadi umat ikut-ikutan tanpa berfikir. Janganlah menjadi umat yang mudah menerima dan menelan bulat-bulat apa yang dikhabarkan tanpa diselidik dan dipastikan kesahihannya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah Nabi saw. Sesungguhnya jalan yang selamat hanyalah dengan berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah. 

Oleh: Abu Irfan 21.4.2011
http://voiceofsunnah.blogspot.com/

Comments

Popular posts from this blog

Bantu aku untuk ikhlas

Akukah Yang Terlambat Atau Takdir Yang Tercepat???

Tentang aku dan si kecil